Pertikai darurat perbuatan khianat, derhaka

68

14 JAN: Perbuatan mempersoalkan perisytiharan darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah merupakan satu pengkhianatan dan penderhakaan justeru harus dihukum.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menerima permohonan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk proklamasi darurat adalah berdasarkan kebijaksanaan Seri Paduka.

Menurut beliau, Seri Paduka juga telah menerima taklimat daripada penjawat awam utama sebelum keputusan itu diambil selain daripada saranan yang diterima daripada Perdana Menteri.

faiz na'aman
MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN

“Oleh yang demikian, sebarang perlecehan, ejekan, sindiran, putar-belit akan niat sebenar proklamasi darurat seperti yang dinyatakan dalam perutusan rasmi Istana Negara, boleh dianggap sebagai khianat serta derhaka.

“Sama ada ia dilakukan oleh orang biasa atau mereka yang ternama, secara terang-terangan atau terselindung, ia wajar dilihat sebagai suatu bentuk hasutan dengan niat jahat untuk menghilangkan hormat dan ketaatan rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Faiz menegaskan bahawa proklamasi darurat itu bukan keputusan Muhyiddin semata-mata tetapi keputusan kolektif oleh kerajaan.

“Sebelum proklamasi darurat diumumkan, Yang di-Pertuan Agong telah menerima mengadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan mendengar sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negera, Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Idrus bin Harun; Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador; Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Abdul Ghani Salleh,” katanya.

“Justeru, Yang di-Pertuan Agong telah bertindak secara adil, berkecuali dan bebas tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan selain dari kepentingan negara adil,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang dakwaan PH kononnya PKP dan darurat dilaksanakan semata-mata untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal berkuasa Faiz mengingatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini pernah memberikan pengampunan kepadanya.

“Khusus kepada ketua pembangkang yang juga merupakan seorang bekas banduan, Anwar Ibrahim, saya ingin ingatkan jika rakyat boleh hormat keputusan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang membebaskan dan mengampunkan anda dari hukuman penjara kes liwat.

“Walaupun ada yang tidak setuju dengan tindakan Agong ketika itu, kenapa tidak pihak anda hormat saja keputusan Agong sekarang mengisytiharkan darurat tidak kiralah apa jua sebab untuk darurat itu?” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.