Malaysia masih antara negara terawal terima vaksin Covid-19

19

14 JAN: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, biarpun ada pihak yang mempersoalkan tentang ‘kelewatan’ Malaysia dalam memperoleh vaksi, hakikatnya Malaysia masih lagi berada dilandasan yang tepat untuk menerima bekalan vaksin pertama mengikut jadual pada Februari ini.

Katanya, tempoh masa berkenaan telahpun dipersetujui dalam rundingan bersama Pfizer pada November 2020 dan apabila diterima kelak, Malaysia sebenarnya masih lagi menjadi antara negara terawal di Asia Pasifik yang mendapat akses kepada vaksin COVID-19.

“Ada pihak yang mempertikaikan kelewatan Malaysia menerima bekalan vaksin, terutamanya apabila melihat negara-negara jiran telah mula menerima vaksin COVID-19, namun Malaysia masih lagi ‘on-track’ untuk menerima bekalan pertama vaksin pada bulan Februari ini.

“Namun saya juga ingin menjelaskan beberapa perkara terutamanya kepada mereka yang cuba membandingkan Malaysia dengan dua negara jiran ini.

“Singapura berkeupayaan untuk meletakkan wang pendahuluan yang besar kepada calon-calon vaksin. Negara tersebut telah menyediakan peruntukan sebanyak S$1 bilion bagi menyediakan vaksin kepada populasi mereka.

“Malaysia menyediakan peruntukan yang hampir sama tetapi untuk populasi lima kali ganda lebih besar. Dengan kata lain, Singapura telah memeterai perjanjian pembelian awal vaksin COVID-19 pada harga premium sebelum data ujian klinikal dikeluarkan,” jelasnya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya lagi, Malaysia tidaklah ketinggalan kerana sebagai perbandingan, Jepun telah membuat tempahan vaksin Pfizer pada Julai 2020 tetapi hanya akan menerima vaksin tersebut pada bulan Februari, iaitu pada bulan yang sama dengan Malaysia.

“Manakala Korea Selatan pula telah membuat tempahan vaksin tersebut pada bulan Disember 2020, sebulan selepas Malaysia dan dijadualkan menerimanya hanya pada suku ketiga tahun ini.

“Malaysia telah membuat keputusan perolehan berdasarkan penelitian kepada ujian klinikal tanpa perlu membayar harga premium atau wang pendahuluan yang tinggi.

“Keputusan ini juga membolehkan Malaysia untuk melihat serta menilai proses vaksinasi yang dilaksanakan di negara-negara lain agar apabila tiba waktu Malaysia melaksanakan vaksinasi, kita mampu melaksanakannya secara teratur dan berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Khairy berkata,  Indonesia lebih awal menerima vaksin Covid-19 adalah kerana republik itu menjadi negara pertama yang meluluskan penggunaan vaksin Sinovac dan telah menerima vaksin tersebut lebih awal, kerana mereka menjadi lokasi ujian klinikal fasa ketiga bagi vaksin tersebut.

“Ini bermakna proses pendaftaran dan kelulusan vaksin tersebut menjadi lebih pantas, susulan data ujian klinikal adalah daripada ujian yang dijalankan di negara mereka sendiri.

“Jadi tidak hairanlah Sinovac akan mengutamakan negara-negara yang menjalankan ujian klinikal bagi vaksin keluaran mereka.

“Kenapa Malaysia tidak mejadi lokasi ujian klinikal bagi vaksin Sinovac? Ujian klinikal vaksin Sinovac bermula pada tahun lalu dan semasa Malaysia menawarkan kepada pihak Sinovac untuk menjadi lokasi ujian klinikal, jumlah kes positif dan kadar jangkitan di Malaysia adalah sangat rendah.

“Oleh itu, Sinovac tidak menyenaraikan Malaysia ke dalam program ujian klinikal fasa ketiga mereka kerana ujian klinikal hanya berkesan di lokasi yang mempunyai kes serta kadar jangkitan yang tinggi,” jelasnya.

Justeru kata Khairy lagi, Malaysia sebenarnya tidak lewat dalam isu ini.

“Ya benar, Malaysia bukanlah antara negara pertama. Banyak negara maju lain yang telah menerima bekalan vaksin.

“Tetapi mereka dapat berbuat demikian kerana mereka mempunyai ruang kewangan yang lebih besar untuk  membuat pembelian awal dengan wang pendahuluan yang tinggi, sebelum data keselamatan dan keberkesanan diterbitkan,” katanya.

Khairy turut mengucapkan selamat maju jaya kepada negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia yang telah memulakan proses vaksinasi kepada rakyat mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.