Darurat bukan lesen kerajaan boleh buat sesuka hati

547

14 JAN: Perisytiharan darurat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bukanlah lesen kepada kerajaan untuk melakukan apa sahaja sehingga memudaratkan negara dan rakyat.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, ini kerana peranan semak dan imbang bukan hanya dimainkan oleh legislatif mahupun orang politik namun mahkamah masih boleh meneliti kewajaran sebarang tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan melalui permohonan semakan kehakiman.

Menurut beliau, perkara yang penting semasa pelaksanaan darurat adalah untuk mengurangkan birokrasi dan kerenah perundangan dalam hal sesuatu yang mendesak dilakukan.

“Yang di-Pertuan Agong boleh membuat ordinan tanpa perlu dibahaskan di Parlimen. Walau bagaimanapun selepas darurat Parlimen masih berkuasa untuk menentukan pemakaian ordinan tersebut selepas darurat.

“Selain Yang di-Pertuan Agong yang merupakan eksekutif sebenar negara menurut perkara 39 Perlembagaan Persekutuan, mahkamah juga boleh berperanan dalam isu semak dan imbang ini,” katanya dalam mesej WhatsApp kepada PN BBC Portal, hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bimbang tiada semak dan imbang terhadap penumpuan kuasa eksekutif kerajaan ketika pelaksanaan darurat memandangkan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung sepanjang tempoh kecemasan itu.

Justeru, Suhakam menggesa kerajaan menghormati undang-undang dan terus melindungi kebebasan hak asasi rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membatalkan penggantungan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilakukan melalui perisytiharan darurat, Zainul Rijal memberitahu tiada keperluan dilaksanakan darurat jika penggantungan itu dibatalkan.

“Sebagaimana yang telah kita alami sebelum ini perbahasan di Parlimen kadang-kadang mengambil masa yang panjang dan acapkali perbahasan menyimpang dari perkara yang perlu dibincangkan.

“Darurat memberi ruang dan peluang kepada pihak Kerajaan untuk membuat tindakan dengan kadar segera tanpa birokrasi Parlimen,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.