Cap dagang Harimau Menangis belum lulus – MyIPO

162

14 JAN: Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohd Roslan Mahayudin, meminta ibu kepada pelakon popular Neelofa jangan bersikap ‘lebih sudu dari kuah’ dengan mendahului pihak berkuasa dalam isu permohonan cap dagang jenama daging ‘Harimau Menangis’.

Ini kerana menurut Mohd Roslan, permohonan cap dagang bagi jenama ‘Harimau Menangis’ oleh Syarikat Noor Khan Enterprise milik ibu kepada Neelofa belum diluluskan masih di peringkat pemeriksaan.

Berikutan itu, Roslan berkata jenama yang dimohon pemilik syarikat itu, Noor Kartini Noor Mohamed belum diluluskan MyIPO dan menjadi hak eksklusif beliau.

Mohd Roslan memaklumkan pemohonan Noor Kartini bagi mendaftarkan jenama itu diterima MyIPO pada November tahun lalu dan kelulusannya bergantung kepada hasil pemeriksaan serta pertimbangan agenssi tersebut.

“Sehubungan itu, Noor Kartini diminta untuk tidak mendahului keputusan MyIPO dengan mendakwa bahawa jenama ‘Harimau Menangis’ telah didaftarkan sebagai cap dagangan dan menjadi hak eksklusif beliau.

“MyIPO akan memproses permohonan beliau seperti biasa iaitu sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” menurutnya dalam kenyataan, semalam.

Sejak semalam, tular di media sosial usahawan itu mendakwa jenama ‘Harimau Menangis’ bagi produk keluarannya telah didaftarkan dan beliau mempunyai hak eksklusif ke atas cap dagangan nama tersebut.

Dakwaan usahawan itu, yang merupakan ibu selebriti Neelofa, mendapat perhatian warganet yang rata-rata menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan memandangkan sudah ramai menggunakan nama resepi masakan berasaskan daging ‘Harimau Menangis’ dalam produk mereka.

Dalam pada itu, Noor Kartini dalam satu kenyataan menjelaskan syarikat itu membuat permohonan tersebut bagi melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan perkataan ‘Harimau Menangis’ pada bungkusan produknya.

“Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan sebarang produk tiruan dalam pasaran yang boleh menyebabkan masalah kepada pihak kami dan pengguna di luar sana.

“Pihak kami tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menjual produk yang sama selagi ia tidak menyerupai pembungkusan produk pihak yang kami pasarkan. Kami sentiasa mengamalkan polisi persaingan perniagaan yang sihat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.