15 kematian, 3,337 kes baharu tertinggi sepanjang pandemik

25

14 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kes harian tertinggi sepanjang pandemik iaitu sebanyak 3,337 kes dan juga kes kematian tertinggi sebanyak 15 kes kematian hari ini.

Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 kini sebanyak 147,855 kes, manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 33,989 kes. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tujuh  kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,330 kes.

Katanya lagi, bagi kes penularan di dalam negara, 2,142 kes adalah warganegara Malaysia manakala 1,188 kes adalah bukan warganegara.

“Selangor masih melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,036 kes (31.0 peratus). Ini diikuti oleh Johor sebanyak 460 kes (13.8 peratus) dan Sabah sebanyak 389 kes (11.7 peratus).

“Sebanyak 153 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Mempaga (63 kes), Kluster Tropika (51 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (34 kes), Kluster Penjara Kepayan (2 kes), Kluster Tembok Choh (1 kes), Kluster Tembok Gajah (1 kes), dan Kluster Pagar Siput (1 kes),” jelasnya menerusi kenyataan media harian Covid-19 hari ini.

Sementara itu, menurut Noor Hisham, bilangan kes sembuh Covid19 hari ini pula adalah sebanyak 1,710 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 113,288 kes (76.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Sehingga kini, terdapat 195 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 86 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita juga dimaklumkan terdapat pertambahan 15 kes kematian COVID-19 pada hari ini melibatkan lapan kes di Sabah, dua di Johor, tiga di Selangor dan satu di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Jumlah kes kematian terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 578 kes (0.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.