PKP: Aktiviti media hiburan dilarang sama sekali

13 JAN: Operasi media berbentuk hiburan adalah antara aktiviti yang tidak dibenarkan sama sekali di negeri-negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, operasi media yang dibenarkan sepanjang tempoh PKP hanya untuk tujuan produksi program, berita, rencana dan kandungan tempatan yang bertujuan untuk penyampaian maklumat.

Beliau menambah, organisasi media di negeri-negeri terlibat PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) boleh meneruskan perkhidmatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Maklumat lanjut tentang SOP sektor komunikasi (termasuk telekomunikasi, internet, penyiaran, serta pos dan kurier), tekonologi maklumat dan e-dagang dan industri kreatif boleh didapati di laman sesawang www.kkmm.gov.my atau boleh menghubungi Hotline Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di talian 03-89115351 dari jam 8 pagi hingga 10 malam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Saifuddin turut mengingatkan pengamal media di negara ini agar mematuhi SOP ketika melaksanakan tugasan.

“Ini bagi melindungi diri serta menjaga keselamatan keluarga dan komuniti daripada ancaman COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.