Kerajaan negeri pertimbang saranan Pesuruhjaya Polis Sabah

39

13 JAN : Saranan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali agar kerajaan Sabah  memberi kelonggaran pergerakan lebih 10 kilometer radius sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), sedang dipertimbangkan kerajaan negeri, demikian kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga sedang mengkaji keperluan untuk melaksanakannya.

“Buat masa ini, kerajaan negeri menyerahkan kepada pasukan keselamatan untuk melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) seperti diputuskan sebelum ini bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PKP.

‘PKP di Kota Kinabalu merangkumi tiga kawasan termasuk Penampang dan Putatan, oleh itu tidak ada SJR di kawasan berkenaan kerana ia dikategorikan sebagai satu daerah.

“Bagaimanapun, orang ramai yang perlu membuat perjalanan penting boleh mendapatkan kebenaran polis untuk rentas daerah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian COVID-19 Sabah di sini hari ini.

Hazani sebelum ini mencadangkan agar kerajaan negeri Sabah membenarkan pergerakan dalam radius lebih 10KM, kerana mengambil kira keadaan negeri itu yang luas termasuk di pedalaman yang memerlukan penduduknya bergerak melebihi jarak tersebut untuk membeli barangan keperluan.

Dalam perkembangan COVID-19 di Sabah, jelas Masidi sebanyak 450 kes baharu dicatatkan hari ini, meningkat 41 kes berbanding 409 semalam dengan tiga kematian direkodkan masing-masing di Papar, Kudat dan Tawau.

“Sebanyak 322 kes atau 71.6 peratus daripada jumlah kes baharu itu berpunca daripada saringan kontak rapat, saringan bergejala (80 kes), saringan kluster sedia ada (14 kes) dan kategori lain (34 kes),” katanya.

Masidi juga berkata jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Sabah meningkat kepada 41,899 manakala jumlah kumulatif pesakit sembuh seramai 37,964 orang.

“Seramai 306 pesakit COVID-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital. Sejumlah 2,833 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 753 di hospital dan 2,080 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.