Kenderaan komersial tak perlu surat kebenaran

136

13 JAN: Pengusaha dan pemilik syarikat kenderaan komersial tidak perlu memohon surat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan untuk beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, pemilik kenderaan komersial hanya perlu mengemukakan surat pengesahan daripada majikan apabila diminta petugas penguat kuasa dan lorong khas akan disediakan di semua sekatan jalan raya untuk kenderaan komersial.

Bagi syarikat logistik lain seperti syarikat penghantaran barang dan pengendali gudang yang berdaftar dengan persatuan, Kementerian Pengangkutan memberitahu, kebenaran daripada kementerian boleh diperoleh daripada persatuan masing-masing.

“Surat ini perlu dikemukakan bersama-sama bukti keahlian dalam persatuan apabila diminta oleh petugas penguat kuasa di sekatan jalan raya.

“Sekatan tidak akan dikenakan kepada kenderaan komersial yang beroperasi semasa PKP,” kata Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilaksanakan di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bermula hari ini hingga 26 Januari.

PKP Bersyarat pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala, Perlis dan Sarawak berada di bawah PKP Pemulihan bagi tempoh sama.

Menurut Kementerian Pengangkutan, syarikat yang tidak berdaftar dengan mana-mana persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan pula, surat kebenaran boleh dimohon menerusi https://application.mot.gov.my/.

Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan tetap menasihatkan pengguna pengangkutan awam supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dan garis panduan seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), mengamalkan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan sebagai langkah untuk mencegah penularan COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.