Jadi pembangkang yang sihat, henti polemik darurat

512

13 JAN: Sudah tiba masanya Ahli-ahli Parlimen pembangkang menghentikan segala polemik politik ketika pelaksanaan darurat dan bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) memfokuskan kebajikan rakyat serta penyelesaian dalam menurunkan kes COVID-19 di negara ini.

Justeru, Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan mencadangkan agar Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang ‘sihat’ yang mampu menjadi semak dan imbang kepada kerajaan sedia ada.

Beliau berkata, tempoh darurat bukanlah masa yang sesuai untuk semua Ahli Parlimen khususnya pembangkang untuk memanipulasikan sentimen kerana rakyat kini amat mengharapkan perancangan terbaik daripada kerajaan untuk membantu mereka khususnya yang terjejas akibat wabak itu.

muhammad ariff asyrul adnan
MUHAMMAD ARIFF ASYRUL ADNAN

“Buat masa ini (pembangkang) cukuplah dengan pertikaian politik, hentikan dan bantu kerajaan menambah baik. Kerja pembangkang bukan setiap masa sahaja kena membangkang tetapi diperlukan untuk penambah baikan kepada pentadbiran kerajaan dan negara. Namun peranan menambah baik bukanlah dia bersifat manipulasi sentimen, itu yang tak seronok.

“Pembangkang tak perlu wujudkan isu lagi. Ini masa beri cadangan pada kerajaan kerana itu juga merupakan tugas pembangkang. Semua pihak kena hentikan politiking buat sementara waktu dan sentiasalah beri bantuan dan cadangan kepada kerajaan supaya setiap usaha kerajaan untuk lenturkan dan kurangkan kes COVID-19 berjaya dilakukan,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Dalam pada itu, mengulas tentang dakwaan PH kononnya PKP dan darurat dilaksanakan semata-mata untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal berkuasa, Muhammad Ariff memberitahu perisytiharan darurat yang diperkenankan itu secara dasarnya untuk menghentikan pergolakan politik yang berlaku.

Menurut beliau, usul itu diperkenankan oleh Seri Paduka kerana Al-Sultan Abdullah sebelum ini pernah bertitah agar semua ahli politik sama ada kerajaan atau pembangkang menghentikan pergolakan politik dan memfokuskan rakyat namun masih ada segelintir ahli-ahli parlimen yang masih memainkan isu tersebut.

“Kalau tak diisytihar darurat susah nak buat kerja kerana kerajaan yang sedia ini pun susah nak buat kerja. Kita nampak ini juga membuktikan Yang di-Pertuan Agong paling prihatin terhadap keselamatan awam dahulu.

“Berbalik semula pada pihak pemerintah, matlamat dan objektif pengisytiharaan darurat perlu dicapai untuk mengurangkan kadar COVID-19. Jadi, kena pastikan matlamat asal darurat itu akan tercapai dengan jayanya,” katanya.

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menolak rasional serta alasan yang diberikan Perdana Menteri kononnya kuasa-kuasa darurat diperlukan untuk menyelamatkan Malaysia dari ancaman COVID-19 walaupun perkara itu mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengadakan mesyuarat membincangkan pengisytiharan darurat itu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.