Hayati sunnah Rasulullah, jangan ikut ‘sunnah’ Trump

13 JAN : Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua pemimpin politik berhenti mempolemikkan keputusan darurat yang dibuat kerajaan atas perkenan Agong dan menumpukan fokus untuk membantu negara menyekat penularan jangkitan virus Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Menurut beliau, melaksanakan Darurat bagi menyekat penularan wabak Covid-19 ini wajib dilakukan dan semua pihak perlu berhenti mempertikaikan keputusan tersebut.

Katanya lagi,  golongan ini mungkin sudah lupa kepada sunnah Rasulullah SAW yang mengajar cara untuk menghadapi darurat wabak dengan kadar dan tempoh tertentu.

“Malangnya, mereka lebih menghayati ‘sunnah’ Presiden Donald Trump yang berpolitiking tanpa mempedulikan wabak yang sedang melanda Amerika Syarikat dengan marak.

“Sehingga telah mengorbankan angka kematian dengan jumlah yang sangat besar dan membimbangkan mereka yang insaf demi keselamatan rakyat.

“Tempoh darurat telah ditentukan tempoh masa dan sempadan yang sangat terhad sehingga penyelesaian wabak dapat dicapai. Darurat di negara ini tidak menghalang pergerakan untuk menjalani kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

“Darurat adalah kawalan yang wajib ditunaikan oleh kerajaan berdaulat untuk sementara waktu, bukan selama-lamanya,” menerusi satu kenyataan dalam facebook rasmi milik beliau.

Justeru, kata Abdul Hadi, amat malang kerana masih ada di kalangan pemimpin politik yang menganggap Covid-19 ini tidak berbahaya dan masih boleh diatasi dengan teori-teori tanpa praktikal, seolah-olah mereka tidak berada di planet bumi yang sedang diancam wabak.

“Fikiran mereka sudah sampai ke tahap tidak peka dengan bahaya yang mendatang dan tidak mempedulikan nasihat yang diberikan. Ada juga yang masih berpolitiking sepanjang masa dengan pelbagai alasan politik yang tidak matang dan sejahtera.

“Pada waktu yang gawat ini, mereka masih berbahas siapa yang layak menjadi Perdana Menteri, walaupun dalam keadaan mereka berpecah belah tidak mampu mengumpulkan jumlah yang mencukupi.

“Sehingga ada yang menghantar nama kepada Yang di-Pertuan Agong dengan tandatangan tanpa angka, laksana menyerahkan cek kosong supaya Tuanku meletakkan berapa jumlahnya,” ujarnya.

Beliau seterusnya memetik sirah di mana Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA pernah menyanjung tinggi tindakan darurat yang diambil oleh wali Syam, iaitu ‘Amru bin al-‘As RA yang tidak mempedulikan sikap orang jahil yang mengatakan dirinya bodoh kerana mengambil tindakan tersebut.

“Isu keselamatan rakyat amat wajar diutamakan, bukannya kepentingan politik kelompok atau individu tertentu. Rakyat wajib diselamatkan terlebih dahulu tanpa mempedulikan apa jua perkara yang lain,” tegasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.