2,985 kes harian baharu, Selangor terus kekal tertinggi

79

13 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan kes harian baharu sebanyak 2,985 kes menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 144,518 kes, manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 32,377 kes.  

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, KKM memaklumkan terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,983 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes penularan di dalam negara ada sebanyak 2,109 kes yang melibatkan warganegara Malaysia (70.7 peratus) dan 874 kes pula adalah bukan warganegara.

“Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 837 kes (28.0 peratus). Ini diikuti oleh Johor sebanyak 535 kes (17.9 peratus) dan Sabah sebanyak 450 kes (15.1 peratus).

“Sebanyak 296 kes (9.9 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Choh (161 kes), Kluster Tembok Mempaga (110 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (20 kes), Kluster Pagar Siput (2 kes), Kluster Tembok Gajah (1 kes), Kluster Telok Mas (1 kes), dan Kluster Pagar Bentong (1 kes),” jelasnya dalam sidang media harian Covid-19 hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 994 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 111,578 kes (77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Sehingga kini, terdapat 197 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 79 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita ingin dimaklumkan terdapat pertambahan empat  kes kematian COVID-19 pada hari ini melibatkan tiga di Sabah dan satu di Johor, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 563 kes (0.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.