11 kluster baharu, 71 lapor pertambahan kes

22

13 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan 11 kluster lagi baharu yang melibatkan negeri Selangor, Kuala Lumpur ,Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, pertambahan 11 lagi kluster baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster ialah sebanyak 616 kluster, di mana 346 telah ditamatkan termasuk dua kluster hari ini.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 71 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tembok Choh (161 kes), Kluster Tembok Mempaga (110 kes), dan Kluster Jalan Rami (109 kes).

“Manakala kluster baharu itu pula ialah Kluster Taman Integrasi, kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Gombak di Selangor. Kluster Jalan Ijuk pula melibatkan daerah Petaling, Kuala Langat, Sepang, Klang dan Hulu Langat di Selangor.

“Kluster tempat kerja Jalan Kasturi pula melibatkan daerah Lembah Pantai dan Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kluster Jalan Thamby melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kluster tempat kerja Taman Batik melibatkan daerah Kuala Muda dan Baling di Kedah dan Kluster Bukit Bakar pula melibatkan daerah Machang di Kelantan,”ujarnya dalam sidang media harian Covid-19 hari ini.

Di Johor pula, terdapat dua kluster baharu yang dikesan iaitu Kluster Jalan Rami yang melibatkan daerah Muar, Kluster Kota yang melibatkan daerah Kota Tinggi dan Kluster Tanjung Megah di daerah Pontian, ujarnya. 

“Di Negeri Sembilan, terdapat kluster baharu yang melibatkan sebuah majlis perkahwinan di daerah Seremban dan satu kluster pusat dialisis, Kluster Dialisis Malim yang dikesan di daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah, Melaka,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.