Tolak kepentingan diri, semua MP patut sokong Darurat

12 JAN: Pengisytiharan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai proklamasi darurat amat penting bagi memastikan rakyat Malaysia menang dalam memerangi COVID-19, seterusnya memulihkan dan menstabilkan ekonomi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mustapa Mohamed menggesa semua Ahli Parlimen sama ada penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahu pun pembangkang supaya meletakkan kepentingan rakyat melebihi keuntungan diri sendiri.

“Saya berharap Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang meletakkan kepentingan rakyat di atas segalanya. Rakyat perlukan pertolongan. Dengan hanya bersatu kita boleh tangani krisis yang amat mencabar ini.

mustapa mohamed
MUSTAPA MOHAMED

“Hentikan politiking. Letakan perbezaan politik di tepi dan tumpukan perhatian kepada rakyat yang dahagakan pertolongan. Tanggungjawab kita sebagai rakyat juga amat besar. Jangan leka daripada mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Elak ruang sempit, elak sembang dekat dan elak tempat sesak. Sentiasa jaga jarak, cuci tangan, pakai pelitup muka. Hanya ini cara untuk elak penularan. Kita jaga kita. Ya Allah, kami berlindung pada-Mu daripada segala penyakit dan mala petaka. Permudahkanlah urusan kami semua,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebook, hari ini.

Terdahulu, Seri Padukan memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Terdahulu, Mustapa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) mengesahkan, biarpun disahkan positif COVID-19 namun keadaan kesihatannya baik dan beliau kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, sejak semalam.

“Alhamdulillah, kesihatan saya baik. Suhu normal, tiada batuk, cuma suara parau sikit. Terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan, yang berdoa dan solat hajat.

“Di HRPZ 2, doktor, jururawat dan seluruh warga hospital, memberikan perkhidmatan terbaik. Saya juga yakin warga Kementerian Kesihatan dan petugas barisan hadapan di seluruh negara sedang melaksanakan tugas mereka dengan penuh komitmen dan tanggungjawab,” jelasnya.

Menurut beliau, bagi mereka yang sedang dirawat di pusat kuarantin atau di hospital amat memahami betapa tekanan yang dirasai oleh perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.

“Sebagai salah seorang yang sedang menerima rawatan, saya amat memahami kata-kata Perdana Meteri dalam perutusan PKP semalam, demi negara, wabak ini perlu dikawal dengan penuh ketegasan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.