SPRM tahan ejen penghantaran kartel daging

82

12 JAN: Seorang lelaki dipercayai bertindak sebagai ejen penghantaran ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor malam tadi kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah berhubung kes skandal kartel daging import haram.

Lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM negeri kira-kira jam 8 malam tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan tangkapan tersebut namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Beliau berkata suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini bagi permohonan reman.

Khamis lalu, SPRM menahan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor kerana disyaki terlibat rasuah berkaitan aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Kedua-dua mereka yang berusia 27 dan 31 tahun itu direman selama lima hari selepas dipercayai terlibat dengan sindiket kartel daging sejuk beku import yang didedahkan awal Disember lalu.

Ia susulan pendedahan MAQIS berkenaan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.