Sokong usaha kerajaan PN bantu rakyat terjejas

50

12 JAN: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggandakan usaha dalam membantu rakyat khususnya mereka yang terkesan akibat COVID-19 dan bencana banjir.

Justeru, Shahidan menyeru semua Ahli-ahli parlimen tidak kira kerajaan mahupun pembangkang untuk turut sama memberi sokongan terhadap usaha-usaha kerajaan ini.

“Kami Ahli-ahli Parlimen kerajaan menyokong sepenuhnya perutusan YAB Perdana Menteri petang semalam mengenai pandemik COVID-19 dan bencana banjir yang melanda negara.

“Kita sedar ia adalah masalah rakyat dan kami berpendapat kesejahteraan dan keselamatan rakyat adalah keutamaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

shahidan kassim
SHAHIDAN KASSIM

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan fasiliti Kementerian Kesihatan sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari ketika ini dan menghampiri kapasiti maksimumnya.

Beliau berkata, sebanyak 15 buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

Sementara itu, Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) tidak menafikan kesan ekonomi daripada COVID-19 menyebabkan rakyat yang paling terkesan akibat perkara ini.

“Begitu juga dengan permasalahan kesihatan. Kami begitu prihatin dan simpati akan semua permasalahan rakyat ini.

“Masalah rakyat harus diberikan perhatian oleh semua pihak,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.