PAS, MCA setuju pelaksanaan darurat langkah tepat

204

12 JAN: Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Malaysian Chinese Association (MCA) menyokong pelaksanaan darurat sehingga Ogos ini dan menyifatkan ia merupakan  suatu keputusan yang tepat demi kepentingan rakyat dalam situasi negara hari ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS menjunjung kasih terhadap titah Al-Sultan Abdullah dengan menumpukan fokus untuk membantu rakyat yang terjejas akibat penularan COVID-19.

“Menjunjung kasih Tuanku. Keputusan ini adalah amat wajar dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara. Fokus kita sekarang hanyalah untuk menangani wabak COVID-19 dan membantu rakyat terjejas,” kata Abdul Hadi dalam ciapan menerusi akaun Twitternya sebentar tadi.

Manakala, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, pula menegaskan pelaksanaan perintah darurat merupakan sebagai langkah tepat untuk ‘merehatkan’ Malaysia daripada terus dibelenggu isu politik.

Beliau berkata, langkah itu terpaksa diambil kerajaan memandangkan wujud segelintir pihak yang mendesak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

“MCA menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selepas berkenaan mengisytiharkan proklamasi darurat, di mana ia selaras matlamat untuk membendung penularan COVID-19 dan merapatkan semula jurang politik yang tercetus sejak kebelakangan ini.

“Kami menaruh kepercayaan Perdana Menteri dan baginda membuat keputusan paling tepat, sekali gus memberi ruang kepada petugas barisan hadapan menumpukan segala perhatian ke arah memerangi pandemik serta menjamin kualiti perkhidmatan kesihatan awam.

“Percaturan seperti ini perlu diambil kerana kadar penularan COVID-19 meningkat secara mendadak, dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Baginda juga berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.