Malaysia cecah lebih 3,000 kes jangkitan sehari

25

12 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah mengesan sebanyak 3,309 kes harian baharu jangkitan Covid-19, sekaligus merupakan satu lagi kes harian tertinggi sepanjang pandemik ini melanda negara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,  jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula kini meningkat kepada  30,390 kes.  

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,303 kes. Bagi kes penularan di dalam negara, 2,461 kes adalah warganegara Malaysia dan 842 kes adalah bukan warganegara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,007 kes (30.4 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 825 kes (81.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 442 kes (13.4 peratus) dan Sabah sebanyak 409 kes (12.4 peratus),” ujarnya menerusi satu kenyataan media harian Covid-19 hari ini.

Katanya lagi, sebanyak 439 kes (13.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (192 kes), Kluster Tembok Choh (162 kes), Kluster Tembok Mempaga (70 kes), Kluster Tembok Gajah (7 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Telok Mas (3 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (2 kes).

“KKM juga memaklumkan bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,469 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 110,584 kes (78.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Sehingga hari ini, terdapat 190 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 83 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“KKM juga dengan dukacita ingin memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian COVID-19 pada hari ini melibatkan dua di Selangor dan dua di Perak, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 559 kes (0.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.