Kluster lapor pertambahan kes makin meningkat

26

12 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan jumlah kluster yang melaporkan pertambahan kes semakin meningkat iaitu sebanyak 77 kluster yang dikesan pada hari ini berbanding semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (192 kes), Kluster Teratai (176 kes), dan Kluster Tembok Choh (162 kes)

“Manakala hari ini, sebanyak 344 kluster daripada 605 kluster telah tamat, termasuk lapan kluster yang ditamatkan hari ini. Lapan kluster tersebut ialah Kluster Atabara, Kluster Senu Setia, Kluster Bonggaya, Kluster Jernai, Kluster Pengkalan Barat, Kluster Tapak Bina Puteh Lama, Kluster Tapak Bina Jalan Bukit, dan Kluster Sabaru.

“Jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 261 kluster termasuk 11 kluster baharu yang dikesan hari ini,” ujarnya menerusi kenyataan media harian Covid-19 hari ini.

Berkenaan kluster baharu yang dikesan, Noor Hisham menjelaskan kluster baharu itu melibatkan daerah di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

“Kluster tempat kerja, Kluster Jalan Manan melibatkan daerah Klang di Selangor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 12 Januari 2021 hasil saringan bersasar di sebuah kilang.

“Kluster tempat kerja Persiaran Kuala pula melibatkan daerah Petaling, Klang, dan Sabak Bernam di Selangor. Kluster tempat kerja Udarama melibatkan daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Dua kluster tempat kerjadi pasaraya, Kluster Iris, menurut Noor Hisham, melibatkan sebuah pasaraya di daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Nama kluster merujuk kepada kediaman kes indeks iaitu di Iris Apartment yang terletak di Taman Desa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sehingga 12 Januari 2021, sejumlah 414 individu telah disaring, di mana 11 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kluster tempat kerja Jalan Kiara pula melibatkan daerah Kepong dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 11 Januari 2021 hasil saringan bersasar di sebuah pasaraya.

“Kluster Dialisis Batu pula bermula di sebuah pusat dialisis yang terletak di Taman Perindustrian IKS, Batu Caves, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kluster ini melibatkan daerah Titiwangsa, Cheras, dan Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Dan satu lagi kluster baharu yang melibatkan pusat dialisis ialah di Presint 9 di Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah Kluster Dialisis Putra. Sehingga 12 Januari 2021, sejumlah 25 individu telah disaring, di mana 10 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,”  jelasnya.

Empat lagi kluster yang lain kata Noor Hisham ialah Kluster Bukit Sekubong melibatkan daerah Bintulu di Sarawak, Klluster Kampung Badak melibatkan daerah Bachok dan Kota Bahru di Kelantan, Kluster Taman Kesedar yang melibatkan daerah Gua Musang di Kelantan dan Kluster Permint Harmoni yang melibatkan daerah Kuala Terengganu, Terengganu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.