Kelonggaran rentas negeri kalau sudah beli tiket

153

12 JAN: Individu yang sudah membeli tiket penerbangan atau pengangkutan awam seperti bas dan kereta api diberi kelonggaran melakukan perjalanan rentas negeri selepas tengah malam ini sehingga Khamis.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka tidak perlu membatalkan tiket tersebut.

Beliau juga memaklumkan, perkara itu telah dibincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kelonggaran hanya diberi kepada mereka yang mempunyai sebab tertentu, ada yang melawat keluarga sakit di hospital.

“Mereka akan balik dua hari dari sekarang, Khamis ini. Saya sudah berbincang dengan PDRM, kes tertentu seperti ini dibenarkan,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu dibenarkan melakukan misi membantu mangsa banjir di negeri terjejas akibat bencana itu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Walau bagaimanapun, beliau menambah, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada PDRM terlebih dahulu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bantuan kemanusiaan oleh NGO atau orang perseorangan di kawasan bencana dibenarkan tetapi perlu ada kebenaran daripada polis.

“Laporkan pada polis sebelum membuat pergerakan dan apabila sampai di lokasi bencana, perlu laporkan kehadiran pada Pusat Bencana Daerah supaya mereka tahu siapa yang hadir ke kawasan bencana.

“Selain itu, kita galakkan untuk petugas NGO atau orang perseorangan itu membuat saringan COVID-19 atau ujian swab terlebih dahulu sebelum pergi ke kawasan bencana kerana kita tidak mahu membahayakan mangsa yang dibantu,” jelasnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, PDRM telah menahan 415 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 377 orang telah dikompaun manakala 38 lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan/ merekodkan butiran diri/pelanggan (169), tidak memakai pelitup muka (153), tiada penjarakkan fizikal (60), aktiviti pusat perjudian (31) dan parti persendirian (2),” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, sejak 20 Mei 2020 sehingga semalam, seramai 10,861 pendatang asing tanpa izin (PATI), 854 tekong dan 426 penyeludup berjaya ditahan manakala sebanyak 277 kapal atau bot dan 1,174 kenderaan darat dirampas.

“Sehingga 11 Januari 2021, terdapat 15,669 kes penglihatan melibatkan 93 PATI dan 15,482 buah kapal telah dilaporkan.

“Secara kumulatif, sejumlah 1,776 kes pengusiran turut dilakukan melibatkan 1,006 PATI, sembilan tekong dan 532 buah kapal atau bot,” jelasnya.

Dalam Op Benteng semalam, kata Ismail Sabri, pasukan keselamatan berjaya menahan 47 PATI, empat tekong dan lima penyeludup serta merampas sembilan kenderaan darat. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.