Jika mereka setuju, luar tabii la

350

12 JAN: Pemimpin Majlis Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kenyataan bersama menolak  rasional serta sebab-sebab telah diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin keperluan darurat untuk menyelamatkan Malaysia dari COVID-19.

Dalam kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah), mereka berpendapat  undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini.

Pemimpin pembangkang itu yang menegaskan perisytiharan darurat bagi sesebuah bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri adalah memadai kerana Pilihanraya Negeri Sarawak tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021, manakala Pilihanraya Umum ke-15 pula hanya perlu diadakan menjelang 2023.

Mereka melihat tindakan menggantung Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.

Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng

“Kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja, sewenang-wenangnya.

“Majlis Presiden turut menimbulkan kerisauan bahawa perisytiharan darurat ini akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur, dan tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan di kalangan rakyat,” menurut kenyataan mereka.

Sebaliknya, PH mendakwa tindakan Muhyiddin mengusulkan darurat pada ketika beliau sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen, termasuk Machang dan Padang Rengas, bermaksud langkah ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Jangan berselindung di sebalik COVID-19 dan membebankan rakyat dengan perisytiharan darurat demi menyelamatkan diri sendiri,” menurut kenyataan Majlis Presiden PH tersebut.

Malangnya, kenyataan yang disiarkan Anwar menerusi Facebook rasmi beliau mendapat pelbagai kecaman rakyat atau netizen.

Zannora Farsyaannkhay dalam  komennya menulis,

“Apa pulak yang menyusahkan rakyat? Takde kena mengena pun. Rakyat akan ikut lah semua SOP PKP, orang orang politik ikut lah peraturan darurat. Aman lah sikit kepala otak rakyat sampai bulan AUGUST. Faham ?????’.

Komen Badh Wiraria pula, “ Kami tak bimbang pun pasal darurat ni. Parlimen pun nk bahas apa time covid tgh memuncak nii!! Cotiii la dlu yb yb tu. Hampa kat parlimen pun merapu saja duk memekak sapa nk merintah!!.


  • Abu Zarin Harun
    pula sempat menyindir ketua pembangkang yang cukup popular dengan ‘cukup angka atau nombor’ kononnya ada bilangan ahli parlimen yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

“Elok lah darurat. Takda lah sibuk dgn nombor strong formidable and convincing lagi.,” tulis Abu Zarin Harun yang mendapat 274 sukaan sehingga jam 7.30 malam.

Apa yang jelas pemimpin PH masih terus mahu berpolitik ketika kes harian COVID-19 hari ini mencecah 3,309 kes dengan jumlah kematian sejak pandemik itu sudah 559 kes.

Tidak hairanlah gelaran pembangkang, sebab apa juga perkara yang tidak menguntungkan mereka, mereka akan bangkang atau bantah.

“Jika mereka setuju, .. luar tabii la,” ulas Ahli Parlimen Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad ketika diminta mengulas kenyataan majlis Presiden PH susulan perkenan Yang di Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos bagi memudahkan kerajaan bertindak mengatasi COVID-19 yang naik mendadak.

Tambah Dr Latiff yang juga Menteri Luar Bandar, “sejak bila pembangkang bersetuju dengan kerajaan yang memerintah dalam dunia ini,”.

Justeru itu katanya, pemimpin PH tidak lagi boleh menjadikan alasan kononnya mereka berjuang atau membela rakyat sedangkan rakyat sendiri mengecam mereka selain bersetuju dengan keputusan kerajaan mencadangkan darurat kepada Yang Di Pertuan Agong.   

Get real time updates directly on you device, subscribe now.