Jangan beri amanah golongan moral rendah

81

12 JAN: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengingatkan umat Islam supaya tidak menyerahkan amanah atau tanggungjawab kepada golongan yang bermoral rendah, terpalit rasuah, salah guna kuasa, tidak amanah dan tidak ikhlas.

Baginda bertitah, umat Islam hendaklah dengan segala daya dan kekuatan menolak perlakuan golongan yang berimej mungkar dan munafik, kerana ia boleh mencemarkan nama baik ummah serta kesucian Islam.

Sultan Nazrin bertitah, umat Islam wajib melindungi kesucian agama daripada sebarang bentuk penodaan atau pencemaran berpunca daripada persaingan untuk mendapatkan laba politik.

“Masyarakat Islam hendaklah dibina daripada kalangan ummah yang mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna dalam semua lapangan, merangkumi kehidupan berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat dan bernegara.

“Masyarakat Islam hendaklah diserlahkan melalui kecemerlangan ummah menguasai ilmu dan pengetahuan, pekerjaan dan profesion, penguasaan ekonomi dan pemilikan kekayaan serta kehebatan budaya dan keagungan tamadun,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan watikah pelantikan kepada 18 daripada 19 anggota MAIPk yang hadir, termasuk Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad dan Ahli Dewan Negara Perak yang juga Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini serta empat daripada lima Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Turut menerima watikah ialah Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, yang dilantik sebagai Hakim Utama Mahkamah Syariah negeri Perak dan Ketua Pendakwa Syarie negeri Perak, Mohd Asri Ghazali.

Sultan Nazrin bertitah, peruntukan Perlembagaan yang memaktubkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja sebagai Ketua Agama Islam, memberi jaminan agama Islam dilindungi dan tidak akan terjejas, walaupun berlaku perubahan kepimpinan politik negara serta negeri, setiap kali selepas pilihan raya.

Baginda bertitah, kemuliaan Islam perlu diangkat dan tidak bergantung semata-mata kepada keistimewaan kedudukannya dalam Perlembagaan kerana tanpa pengisian, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan hanya tinggal sebagai frasa perundangan.

“Tanggungjawab memberi erti, makna kepada frasa perundangan tersebut terletak di atas bahu setiap umat Islam yang wajib berusaha menjelmakan Islam secara terserlah dalam budaya hidup harian,” titah Sultan Nazrin.

Sultan Perak bertitah, rakyat sedang memerhati, mendengar, mengikuti apa yang berlaku di dalam negara ketika ini sambil menyifatkan ujian sedang dilalui kini, berpunca daripada perbuatan zalim manusia.

“Hamba-Mu memohon agar dilindungi ummah-ummah yang tidak berdosa daripada ditimpa bala bencana akibat daripada perbuatan zalim pihak-pihak yang telah melanggar perintah Mu, Ya Allah. Ya Wahhab! Ya Razak! Ya Rafiq! Ya Muiz!.

“Di atas bahu hamba-Mu ini, Engkau amanahkan tanggungjawab berat sebagai Ketua Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan. Kepada Mu jua, hamba-Mu memohon dikurniakan hidayah agar dapat membantu hamba-Mu menyempurnakan amanah yang dipertanggungjawabkan, memimpin jemaah menemui jalan lurus yang dapat memberi kebahagiaan dunia serta akhirat.

“Ketika dunia sedang berhadapan pelbagai kemelut sama ada berbentuk wabak penyakit yang terus menular, bencana alam yang sering melanda, polemik politik yang semakin bergelombang dan suasana ekonomi yang suram, kuatkan pegangan dan kukuhkan iman sekalian hamba-Mu agar yakin kepada kuasa-Mu yang Esa,” titah Sultan Nazrin.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.