Darurat: Sekolah tetap mula dibuka 20 Januari

12 JAN: Sesi persekolahan 2021 tetap bermula pada 20 Januari ini biarpun kerajaan semalam mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) serta terbaharu proklamasi darurat sehingga 1 Ogos depan bagi mengekang penularan COVID-19.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Md Jidin berkata, hanya pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa setara di negeri- negeri PKP dibenarkan hadir ke sekolah.

Beliau berkata, sesi persekolahan secara bersemuka membabitkan pelajar di enam negeri iaitu Johor, Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Selangor serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), akan bermula seawal seminggu selepas PKP ditamatkan.

sekolah

Radzi berkata KPM juga memberi kebenaran kepada guru di negeri terlibat dengan PKP untuk mengadakan kelas tambahan di sekolah untuk pelajar kelas peperiksaan.

“Murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari 2021. Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama.

“Selain itu, semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah di kawasan PKP akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021. Ketetapan ini juga terpakai kepada murid Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.

Dalam pada itu, Radzi berkata bagi tujuan pengoperasian sekolah, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari 2021.

Mengulas lanjut, Radzi berkata guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

Katanya, surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah.

Beliau berkata pelajar Kolej Matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.

sekolah

“Bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksanakan secara dalam talian mulai 17 Januari 2021.

“Di samping itu, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka. Institusi Pendidikan di kawasan PKPB dan PKPP Bagi kawasan PKPB dan PKPP, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata pihak sekolah juga akan menghubungi ibu bapa pelajar berkenaan dalam masa terdekat bagi proses penghantar dan pengambilan buku teks untuk sesi persekolahan 2021. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.