Darurat: Jentera Pentadbiran Negara tidak terkesan – KSN

110

12 JAN : Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, menerusi satu kenyataan hari ini berkata, jentera pentadbiran negara tidak terkesan dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat kerana segala operasi dalam sektor awam dan swasta berjalan seperti biasa.

Menurut beliau, proklamasi darurat yang diumumkan hari ini berbeza dengan Proklamasi Darurat pada 1969, yang disebabkan oleh ancaman keselamatan dan menyebabkan campur tangan anggota keselamatan negara bagi menangani keadaan tegang pada ketika itu.

“Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada waktu ini adalah untuk mengekang ancaman penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan sekali gus berisiko tinggi menggugat tiga asas utama dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Pendekatan ini akan menjamin kestabilan negara dan membolehkan kerajaan kekal fokus kepada usaha memulihkan ekonomi serta memastikan kehidupan rakyat yang makmur dan sejahtera,” katanya.

Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa anggota perkhidmatan awam akan terus memberikan komitmen dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan undang-undang dan dasar kerajaan yang diputuskan dari semasa ke semasa.

“Saya dan perkhidmatan awam akan terus menjunjung taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan menyokong Pengisytiharan Proklamasi Darurat dengan menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong turut memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan. Jawatankuasa itu akan mengesyorkan kepada Seri Paduka sekiranya pelaksanaan darurat itu dapat ditamatkan lebih awal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.