Cuti pegawai, anggota Polis dibekukan serta merta

12 JAN :  Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan cuti semua semua pegawai dan anggota polis serta merta di seluruh negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berkuat kuasa tengah malam ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ini dilakukan untuk menjamin kekuatan maksimum Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menguatkuasakan PKP serta memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya telah mendengar taklimat (berhubung peningkatan kes COVID-19) daripada Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dan hasil taklimat itu, PDRM melihat keputusan pelaksanaan PKP ini amat wajar sekali,

“Sehubungan itu, arahan pembekuan cuti serta merta dikeluarkan dan hanya pegawai dan anggota polis yang mempunyai hal-hal kecemasan diberi kelonggaran untuk bercuti untuk memastikan PDRM akan dapat menyediakan barisan petugas yang komited memastikan pematuhan SOP ini dipatuhi orang ramai.” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini.

Sementara itu, kata Hamid, keputusan kerajaan melaksanakan PKP ini amat tepat kerana sekiranya PKP tidak dilaksanakan, keadaan jangkitan Covid-19 ini akan menjadi lebih menakutkan.

“Majlis Keselamatan Negara telah mengambil keputusan yang amat tepat dengan melaksanakan PKP bermula tengah malam ini,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.