222 pemegang PhD sokong proklamasi darurat

154

12 JAN: Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) menyokong penuh tindakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membendung penularan COVID-19.

Dalam satu kenyataan, 222 pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) yang menganggotai PINTAR juga menolak dan mengecam cadangan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan dalam waktu terdekat.

Presidennya, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata PINTAR juga akan pembentukan jawatankuasa bebas bagi memgemukakan syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat seperti ditetapkan sehingga 1 Ogos nanti atau lebih awal bergantung kepada kes jangkitan.

“Ini selaras dengan kegusaran Seri Paduka Baginda terhadap kenaikan mendadak angka jangkitan COVID-19 serta kesan bencana banjir ketika ini.

“Sekiranya penularan COVID-19 tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, ia akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Antara pemegang PhD yang menyokong proklamasi darurat itu adalah pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai; pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz; pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Dr Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman El-Muhammady dan pensyarah komunikasi, Prof Dr Abdul Muati Ahmad.

PINTAR juga turut meminta semua pihak tidak mempersoal atau mencabar pandangan Yang di-Pertuan Agong berhubung tahap penularan COVID-19 yang amat kritikal ketika ini, ujar Mohd Roslan.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan [pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa Seri Paduka amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat jelata, khususnya pada ketika ini rakyat di beberapa negeri masih mengharungi bencana banjir. Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ia akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook Istana Negara sebentar tadi.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi keselamatan dan kepentingan bersama.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.