Semua menteri kabinet diarah jalani ujian saringan Covid-19

11 JAN : Berikutan dua menteri kabinet yang disahkan positif Covid-19, kesemua menteri kabinet telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah pencegahan dan pengawalan, demikian menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba.

Menurut beliau, dalam penilaian risiko, melalui kit ujian RT-PCR,terdapat CT-Value iaitu Cycle Threshold (CT) value, yang boleh menentukan hari atau masa sebelum mereka berjangkit.

“Penilaian risiko akan dibuat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan mereka akan mengeluarkan garis panduan kepada jemaah menteri terlibat untuk langkah susulan.

“Penilaian risiko dibuat oleh pasukan petugas perubatan yang pakar dalam kesihatan awam dan mereka akan menilai risiko bagaimana penularan itu berlaku dan bila. Kami akan tahu bila bermula jangkitan itu dan pakar perubatan akan memberikan panduan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah selesai  majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM),hari ini.

Katanya lagi, pasukan petugas perubatan kesihatan awam kelak akan menentukan samada menteri Kabinet akan diarahkan untuk menjalani kuarantin atau boleh meneruskan jadual mereka seperti biasa.

Dua menteri Kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, telah disahkan positif COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.