NUTP harap SPM diteruskan Februari, jangan tangguh

11 JAN: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan Februari ini diharap dapat diteruskan meskipun terdapat kebimbangan peningkatan kes pandemik COVID-19 sejak akhir-akhir ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, pihaknya tidak mahu status cemerlang peperiksaan SPM terjejas kerana sijil berkenaan juga diiktiraf di banyak negara dan ia setaraf dengan Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) di United Kingdom.

“NUTP mengharapkan agar peperiksaan SPM dapat diteruskan untuk pelajar SPM yang sepatutnya menduduki pada tahun 2020 itu untuk proses mereka memasuki fasa kerjaya dan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi berjalan lancar.

“Pelajar SPM yang memasuki umur 18 tahun ini juga sudah mampu berfikir secara matang dan sedar apa-apa yang berlaku akan menjejaskan peluang mereka melanjutkan pelajaran dan memasuki era kerjaya. Mereka senang diurus oleh guru untuk berhadapan dari sudut aspek pematuhan pencegahan COVID-19,” katanya pada sidang media selepas pelancaran aplikasi MyNUTP, malam tadi.

aminuddin NUTP
AMINUDDIN AWANG

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah seliaan mereka akan dibuka di seluruh negara mengikut takwim 2021 termasuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Pendidkan, Dr Radzi Jidin berkata, operasi kesemua institusi pendidikan adalah tertakluk kepada pematuhan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu.

Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesyorkan agar pemulaan sesi persekolahan 2021 ditangguhkan selepas cuti Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata, penangguhan itu perlu diambil kira memandangkan situasi negara yang berdepan dengan keadaan banjir selain kes penularan COVID-19 yang semakin tinggi.

Sementara itu, Naib Presiden MIC, Datuk C Sivaraajh juga turut meminta KPM menimbang semula tarikh pembukaan sekolah yang dijadualkan bermula 20 Januari ini ekoran peningkatan kes jangkitan COVID-19 sejak akhir ini.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, NUTP juga berpendirian akan menyokong segala keputusan Kementerian Pendidikan sama ada untuk menangguhkan pembukaan sesi persekolahan sekiranya kes COVID-19 terus meningkat dan membimbangkan.

Tambah beliau, aplikasi MyNUTP yang diwujudkan juga akan memudahkan ribuan ahlinya melaksanakan proses perkhidmatan secara dalam talian dengan lebih mudah dan ringkas termasuk berkenaan mendapatkan penyata ahli, maklumat pertukaran tempat bertugas dan tuntutan kebajikan bagi pasangan dan anak.

“NUTP yakin dalam proses pembukaan sesi persekolahan, Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan berasaskan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan analisis risiko semasa.

“Kami di pihak guru dalam keadaan apa sekalipun tetap bersedia menabur khidmat dan berharap aspek keselamatan dan kesihatan diberikan keutamaan dalam apa-apa hal berkaitan pembukaan sekolah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.