Maybank sedia bantu pelanggan terjejas banjir

21

11 JAN: Pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta korporat Maybank boleh memohon Program Bantuan Banjir bagi meringankan beban mereka akibat bencana tersebut.

Antara bantuan di bawah program berkenaan adalah penangguhan bayaran pembiayaan/pinjaman, pengurangan ansuran bulanan dan pelanjutan tempoh bayaran balik.

Menurut Maybank, pelanggan yang ingin berbuat demikian boleh memohon secara mudah melalui e-mel kepada [email protected] bersama maklumat nama/nama perniagaan, nombor kad pengenalan/nombor pendaftaran perniagaan, nombor telefon, jenis pinjaman dan nombor kenderaan (sewa beli).

“Mereka terbabit juga boleh menghubungi mana-mana cawangan, Pusat PKS, Pusat Perbankan Perniagaan atau Pusat Pembiayaan Auto kami di seluruh negara.

“Semua permohonan akan dinilai berdasarkan setiap kes,” kata Maybank dalam satu kenyataan hari ini.

Maybank turut menawarkan pengecualian fi dan caj untuk perkhidmatan terpilih seperti penggantian kad debit, kad ATM atau buku cek yang hilang atau rosak akibat banjir serta memberi pengecualian caj bayaran lewat untuk kad kredit.

Sementara itu, Etiqa yang juga subsidiari insurans Kumpulan Maybank, turut menyediakan proses tuntutan mudah dan pantas untuk pemegang polisi insurans dan sijil takaful tanpa perlu mengisi borang atau dokumen sokongan.

Maybank memberitahu, bagi membuat tuntutan, pemegang polisi atau sijil terbabit hanya perlu menghantar mesej teks, gambar atau video banjir ke nombor-nombor khusus WhatsApp yang beroperasi 24 jam sehari iaitu 011-1630 6646 bagi Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Pelanggan-pelanggan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak pula boleh menghubungi 018-226 3288.

Mereka juga boleh menghubungi talian Tuntutan Banjir Etiqa menerusi 03-2692 8188 untuk Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis manaka mereka di Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak di nombor 03-4270 7735/5068.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.