Kerajaan Malaysia-Pfizer meterai perjanjian bekal vaksin

11 JAN: Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kesihatan, hari ini memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd bagi mengeluarkan dan pembekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Malaysia.

Perjanjian itu adalah lanjutan kepada perjanjian “Binding Heads of Terms” (perjanjian awal untuk mengikat terma-terma) yang ditandatangani pada 24 November lalu.

Perjanjian dimeterai secara sidang video oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mewakili kerajaan Malaysia dan Pengurus Negara Pfizer (Malaysia dan Brunei), Luksanawan Thangpaibool bagi pihak Pfizer. Perjanjian disaksikan oleh Ketua Pasaran Baru Muncul Asia Pfizer, Anil Argilla.

Perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. melibatkan perolehan vaksin sebanyak 12,799,800 dos yang akan dibekalkan mulai penghujung bulan Februari 2021 meliputi 20 peratus populasi penduduk Malaysia dengan dua dos seorang.

Perjanjian yang dimeterai pada hari ini adalah untuk fasa pertama dengan penghantaran vaksin ke seluruh Malaysia.

Dalam pada itu kerajaan juga bersetuju untuk membuat perolehan bekalan tambahan 12.2 juta dos yang menjadikan jumlah keseluruhan vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b sebanyak 25 juta dos meliputi 39 peratus penduduk Malaysia dan akan diterima sepanjang tahun 2021.

Berucap pada majlis itu, Dr Adham berkata, kerajaan Malaysia menghargai sokongan yang diberi oleh Pfizer dan berharap bekalan vaksin akan tiba di negara ini lebih awal daripada jangkaan.

Sementara itu, Argilla pula berkata, Pfizer komited untuk memastikan bukan sahaja akses kepada vaksin tetapi juga bekerja bersama bagi mengakhiri pandemik.

“Ini adalah satu langkah ke depan yang memberikan keupayaan untuk mengawal dan juga kemungkinan menamatkan terus penularan pandemik ini di Malaysia,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.