Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin libat 9 hospital kerajaan

11 JAN: Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 akan bermula pada 21 Januari ini di sembilan buah hospital Kementerian Kesihatan di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia itu dijangka akan melibatkan seramai 3,000 sukarelawan.

Katanya, Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar China untuk kajian calon vaksin COVID-19 tidak diaktifkan buatan Institut Biologi Perubatan, Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Menurut beliau, kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika dari Jawatankuasa Penilaian dan Etika Perubatan (MREC) dan Lesen Import Percubaan Klinikal (CTIL) daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah diperolehi pada 8 Januari lalu.

“Selain itu, NPRA dan Kementerian Kesihatan juga telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer.

“Justeru, Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini insya-Allah,” katanya dalam perutusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Muhyiddin menambah, sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat berjalan lancar apabila bekalan diperolehi, Kementerian Kesihatan telah membangunkan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Beliau memberitahu, bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60 hingga 70 peratus atau 20 hingga 23 juta rakyat Malaysia perlu dberikan vaksin COVID-19.

“Buat masa ini, kerajaan telah pun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi.

“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” jelasnya.

Muhyiddin memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia.
“Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk NPRA untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19 tersebut boleh digunakan di Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan rakyat agar terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan walaupun bekalan vaksin akan diterima tidak lama lagi. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.