Fasiliti KKM tak tertampung 2,000 kes baharu sehari

86

11 JAN: Fasiliti Kementerian Kesihatan sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari ketika ini dan menghampiri kapasiti maksimumnya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak 15 buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

Selain itu, beliau memberitahu, di Lembah Klang, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus.

“Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di lima buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70 peratus,” katanya dalam perutusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Lebih membimbangkan, Muhyiddin menambah, pada masa ini, terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

Pada masa yang sama, katanya, jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus.

“Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020.

“Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk di bawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah COVID-19 (PKRC).

“Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri. Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, dalam menangani pandemik COVID-19, amat penting bagi mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat.

Menurut beliau, peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.

“Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat,” ujarnya.

Mengimbau kembali, kata Muhyiddin, Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi COVID-19 pada 24 Oktober 2020 (iaitu sejumlah 1,228 kes).

Beliau menyatakan, bermula penghujung November 2020, fenomena kes harian empat digit bagi COVID-19 direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang telah dilaporkan pada 7 Januari 2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.

“Di dalam gelombang ketiga ini yang bermula pada 20 September 2020, sejumlah 476 kluster baharu dilaporkan sehingga 10 Januari 2021 melibatkan 259 kluster (54.41 peratus) tempat kerja.

“Data ini menunjukkan peningkatan ketara bilangan kluster baharu di dalam gelombang ketiga berbanding 110 kluster baharu yang direkodkan semasa gelombang kedua dengan 25 kluster (22.72 peratus) melibatkan tempat kerja,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan, secara keseluruhan, sebanyak 586 kluster telah direkodkan sehingga 10 Januari lalu dengan 48.46 peratus daripadanya merupakan kluster yang melibatkan tempat kerja dan daripada jumlah itu, sebanyak 254 kluster masih lagi aktif manakala 332 kluster telah pun diisytiharkan tamat.

Beliau menambah, sepanjang tempoh gelombang ketiga penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia, trend kes import didapati adalah terkawal tetapi kes-kes penularan tempatan terus meningkat melibatkan golongan bukan warganegara dan warganegara.

“Pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September 2020, kes-kes lebih tertumpu kepada kumpulan bukan warganegara, iaitu sebanyak 63 peratus dan hanya 37 peratus melibatkan warganegara.

“Namun perkembangan semasa menunjukkan jangkitan dalam kalangan warganegara semakin meningkat. Sehingga 11 Januari 2021, sebanyak 70 peratus kes positif COVID-19 di Malaysia adalah melibatkan warganegara dan hanya 30 peratus bagi bukan warganegara,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, berdasarkan nilai R-naught semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua bulan April 2021 dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021.

Menurut beliau, semakin tinggi nilai R-naught, semakin sukar untuk mengawal penularan kerana semakin ramai yang telah dijangkiti.

“Trend ini nyata amat membimbangkan dan Kerajaan sedar bahawa pendekatan yang lebih tegas mesti diambil bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 ini, sekali gus menurunkan bilangan kes positif harian ke satu tahap yang terkawal dan boleh diuruskan dengan lebih berkesan,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga memahami kebimbangan rakyat serta kepenatan petugas barisan hadapan serta kesihatan awam yang semakin tenat akibat penularan pandemik COVID-19. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.