ADUN Galas Syahbuddin Hashim positif COVID-19

68

11 JAN: Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Gua Musang disahkan positif COVID-19 hari ini.

ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya mengesahkan bahawa beliau disahkan positif virus tersebut.

Mohd Syahbuddin dalam kenyataan melalui Facebook berkata, beliau bersama isterinya disahkan positif selepas melakukan ujian swab kelmarin.

“Dengan penuh dukacita dan hiba, hari ini saya dan isteri disahkan positif COVID-19 dan kepada semua yang ada berhubung rapat dipohon jutaan maaf kerana mungkin menyusahkan tuan dan puan yang terpaksa menjalani ujian swab dan mungkin terkena jangkitan.

“Gua Musang telah diisytiharkan Zon Merah, berhati-hatilah semua,” katanya yang akan menjalani kuarantin di Hospital Kuala Krai petang nanti.

Kelmarin, ADUN Nenggiri Ab Aziz Yusoff bersama Ketua Pemuda UMNO Gua Musang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani disahkan positif COVID-19.

Dua pemimpin itu dihantar menerima rawatan serta dikuarantin di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai dan berada dalam keadaan stabil.

Ab Aziz dan Mohd Azmawi Fikri dalam hantaran di Facebooknya mohon rakyat di kawasan Parlimen Gua Musang mendoakan mereka selamat.

“Kami memohon doa rakyat supaya diberi kesembuhan dan kekuatan untuk menempuhi dugaan Allah.

“Kami juga mohon maaf di atas kekhilafan. Semoga Allah permudahkan segalanya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.