6 negeri bawah PKP 2 minggu, mula 13 Januari

954

11 JAN: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, 13 Januari sehingga 26 Januari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perintah itu melibatkan tiga peringkat pelaksanaan.

“Pertama, PKP ke atas enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

“Kedua, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Ketiga, PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam perutusan pelaksanaan PKP yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Menurut beliau, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Muhyiddin memberitahu, Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

Beliau menambah, tindakan tegas itu diambil berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai kementerian dan agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19, Muhyiddin berkata, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKPP, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard SOP yang ketat.

“Pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam, 13 Januari 2021.

Beliau menyatakan, bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja.

“Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama.

“Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000,” tegasnya.

Bagi sektor ekonomi, jelas Muhyiddin, kerajaan telah mengenal pasti lima sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai sektor ekonomi perlu.

“MITI dan Kementerian Kerja Raya juga akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu, arahan bekerja dari rumah akan berkuatkuasa.

“Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi,” ujarnya.

Beliau menambah, sepanjang pelaksanaan PKP, kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan bungkus manakala bagi kawasan PKPB dan PKPP, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan manakala perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi.

Perdana Menteri berkata, pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi; serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat, khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaanSPM bagi sesi 2020 dan 2021.

“Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini,” jelasnya.

Bagi aktiviti keagamaan, beliau menjelaskan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum lima orang.
“Bagi negeri yang dikenakan PKPP dan PKPB, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan di dalam SOP.

“Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan semua pihak bahawa virus COVID-19 telah pun berada di dalam komuniti dan hidup bersama kita.

“Janganlah kita merasa terlalu selesa dan akhirnya mengabaikan langkah-langkah pencegahan yang begitu mudah untuk kita amalkan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka dengan betul, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

“Saya ingin mengajak pemimpin-pemimpin masyarakat atau community leaders untuk menjaga dan melindungi komuniti masing-masing daripada menjadi tempat penularan jangkitan COVID-19.

“Anda semua adalah frontliners di dalam komuniti anda dalam perjuangan melawan virus ini. Jalinkan kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah, klnik-klinik kesihatan komuniti dan juga majlis daerah untuk mendidik warga komuniti anda supaya mereka juga tahu bagaimana cara terbaik untuk mencegah jangkitan COVID-19 ini,” katanya.

Beliau memberitahu, sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memperkasakan komuniti, satu jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bersama Menteri Tugas-Tugas Khas telah dibentuk untuk memastikan pelaksanaan langkah pemerkasaan komuniti dengan lebih berkesan.– Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.