2,232 kes baharu, 4 lagi kematian hari ini

11 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mengesan sebanyak 2,232 kes harian baharu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 138,224 kes, manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula terus meningkat kepada 28,554 kes.  

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan hari ini, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat enam kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,226 kes, melibatkan 1,769 kes warganegara dan 457 kes adalah bukan warganegara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 557 kes (25.0 peratus). Ini diikuti oleh Johor sebanyak 396 kes (17.7 peratus) dan Sabah sebanyak 374 kes (16.8 peratus).

“Sebanyak 194 kes (8.7 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Choh (157 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (20 kes), Kluster Tembok Gajah (12 kes), dan Kluster Pagar Siput (5 kes),” ujarnya.

Manakala, jumlah kes sembuh hari ini pula menurut Noor Hisham adalah sebanyak 1,006 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 109,115 kes bersamaan 78.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.  

“Sehingga kini, terdapat 187 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 87 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Saya dengan dukacita juga memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian Covid-19 pada hari ini melibatkan tiga kematian di Selangor dan satu di Sabah, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 555 kes,” katanya lagi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.