Kerjasama kerajaan negeri, Persekutuan bantu mangsa banjir

124

10 JAN: Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama memastikan kebajikan setiap mangsa banjir tidak terbatas hanya dari segi penyediaan bekalan keperluan harian semasa berlindung di pusat perlindungan sementara (PPS) sahaja.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bantuan perlu diteruskan sehingga tempoh tertentu yang difikirkan sesuai selepas mereka pulang ke rumah.

Menurut beliau, hal sama turut melibatkan aspek lain seperti membaik pulih kediaman mereka yang rosak dan langkah itu untuk memastikan mangsa tidak terus berada dalam keadaan trauma akibat musibah banjir.

“Saya telah meminta agar Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan segera menumpukan usaha membaik pulih infrastruktur yang rosak teruk akibat banjir seperti jalan raya, masjid dan sekolah.

“Saya juga bertemu mangsa banjir termasuk warga emas yang berlindung di PPS, untuk bertanyakan keadaan kesihatan mereka.

“Alhamdulillah mereka baik-baik sahaja malah ada yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan PPS dengan kemudahan memuaskan di samping petugas yang sentiasa memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19,” katanya dalam hantaran Facebook beliau, sebentar tadi.

Muhyiddin mengulas tentang kunjungan beliau ke dua PPS di Pahang hari ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh dan SMK Tengku Ampuan Afzan, Chenor, Maran, bagi meninjau keadaan di situ.

Beliau sempat meninjau keperluan mangsa banjir dan memastikan kebajikan mereka terjaga.

Hadir sama pada lawatan itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Pengarah Agensi Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim serta pegawai-pegawai kanan agensi berkaitan.

Perdana Menteri juga telah mengarahkan pengurusan PPS dan NADMA supaya menyediakan dua khemah kepada keluarga yang mempunyai bilangan lebih daripada enam orang.

“Ini bagi menjamin keselesaan kepada mereka sepanjang berada di pusat penempatan itu,” jelasnya.

Beliau difahamkan bahawa di Temerloh terdapat 91 PPS yang dihuni 11,589 mangsa daripada 3,178 keluarga dan daripada jumlah itu, sebanyak 197 keluarga yang membabitkan 852 mangsa adalah dari PPS SMK Seberang Temerloh.

“Saya doakan mereka semua termasuk 53 keluarga yang kini ditempatkan di PPS SM Tengku Ampuan Afzan serta semua mangsa banjir di seluruh negara agar terhindar daripada sebarang penyakit dan dapat pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan sihat. Insya-Allah,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.