Cari kaedah baharu selain PKP sekali lagi

10 JAN: Kerajaan perlu mencari kaedah baharu bagi mengekang penularan wabak COVID-19 selain daripada melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berpandangan, kerajaan tidak boleh lagi membawa pendekatan yang streotaip.

“Pada mulanya kerajaan mengumumkan PKP selepas itu PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Pemulihan dan sebagainya. Selepas ini apa pula adakah kita akan kembali kepada PKP atau PKPD?

“Kita perlu mengenal pasti kaedah baharu kerana setiap kali PKP diumumkan maka ia akan menjejaskan ekonomi negara. Malah, saya difahamkan Malaysia mengalami kerugian lebih RM20 bilion dalam tempoh dua minggu ketika PKP pertama diumumkan sebelum ini.

“Jadi kita kena faham kerajaan perlu menyimbangkan antara memelihara nyawa dan kehidupan rakyat dengan impak terhadap ekonomi negara,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta program Superb anjuran Unit Teraju JPM di sebuah hotel di Putrajaya, malam tadi.

Berikutan itu, Mohd Redzuan berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan keputusan muktamad pada Isnin ini.

Sebelum ini media melaporkan persoalan yang bermain dalam kalangan rakyat sama ada kerajaan akan melaksanakan langkah lebih ketat termasuk PPKP bagi mengekang penularan COVID-19 yang semakin meningkat akan dijawab Isnin ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dipetik sebagai berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard yang lebih ketat akan disentuh dalam pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari tersebut. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.