2,433 kes baharu COVID-19, 9 pesakit meninggal dunia

10 JAN: Sebanyak 2,433 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 135,992 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 27,332 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,426 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 1,784 kes adalah warganegara Malaysia dan 642 kes adalah bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 730 kes (30.0 peratus).

Dr Noor Hisham menambah, daripada jumlah itu, sebanyak 510 kes (69.9 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 403 kes (16.6 peratus) dan Johor sebanyak 321 kes (13.2 peratus),” jelasnya.

Beliau memberitahu, sebanyak 86 kes (3.5 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (3 kes), dan Kluster Tembok Choh (1 kes).

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 171 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 76 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan, terdapat pertambahan sembilan kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 551 kes (0.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sementara itu, sebanyak 1,277 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 108,109 kes (79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.