Seorang Menteri, dua pembantu Menteri positif Covid-19

138

9 JAN : Seorang lagi pembantu menteri, Hendrus Anding disahkan positif COVID-19, sekaligus menjadikan dua Pembantu Menteri dan seorang Menteri yang telah dijangkiti virus itu di Sabah ketika ini.

Hendrus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, merupakan pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, kini dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Kota Belud.

Difahamkan, Hendrus yang mewakili Parti Bersatu Sabah (PBS) dijangkiti ketika beliau berada di kawasannya.

Siang tadi, Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik juga disahkan positif Covid-19 dan beliau kini dirawat di Hospital Keningau.

Petang tadi, Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Senator Datuk Guandee Koh Hoi turut mengesahkan Robert yang juga Naib Presiden STAR juga telah dijangkiti virus itu.

Isnin lalu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan disahkan dijangkiti COVID-19 dan kini masih dirawat di Hospital Queen  Elizabeth (HQE), sehingga hari ini.

Beliau memaklumkan, Robert dan Jeffrey yang juga Presiden STAR dalam keadaan baik serta stabil.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor turut disahkan positif COVID-19 dan ditahan di HQE kira-kira dua minggu sebelum pulih pada Oktober lalu.

Sabah hari ini merekodkan sebanyak 409 kes baharu positif COVID-19, bertambah lapan kes berbanding 401 kes baharu semalam, menjadikan kumulatif kes setakat ini sebanyak 40,263.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.