PKPD tiga lokasi di Negeri Sembilan, Johor dilanjutkan

6,022

9 JAN: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi di Negeri Sembilan dan Johor yang sepatutnya tamat esok kepada sehingga 24 Januari ini, demikian kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri.

Menurut beliau, tiga PKPD tersebut ialah PKPD Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan; PKPD di Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru serta PKPD Dewan Arena Segitiga, Lot 19094, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, Johor.

”Sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 1,694 ujian saringan dan daripada jumlah itu
sebanyak 459 kes positif COVID-19 telah direkodkan dan masih terdapat sebanyak 803 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Sehubungan itu, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu, bermula 11 sehingga 24 Januari 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kerajaan terpaksa melanjutkan PKPD Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru yang sepatutnya tamat pada 10 Januari 2021 kerana kadar jangkitan Covid-19 dalam kalangannya penghuninya masih tinggi.

”Malah, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,376 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 516 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“KKM turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan penghuni di pusat tahanan ini masih lagi tinggi dan banyak kes baru dikesan selepas saringan kedua dilaksanakan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru bermula 11 sehingga 24 Januari 2021,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.