GRS tandatangan MoU, perkukuhkan persefahaman antara parti

196

9 JAN : Pengerusi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, kemelut politik yang berlaku di Semenanjung tidak akan menggoyahkan persefahaman antara parti-parti politik yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut beliau, GRS perlu menentukan sendiri hala tuju politiknya berdasarkan mandat yang diberi oleh rakyat Sabah.

“Tidak timbul isu kita terpengaruh dengan apa sahaja berlaku di Semenanjung kita GRS kekal utuh.

“Berpaksikan kepada mandat yang telah diberikan oleh rakyat kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, semua parti yang ada dalam gabungan ini bersetuju untuk memastikan mandat rakyat ini dihormati dan perlu diteruskan bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media hari ini.

Manakala menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Sri Bung Mokhtar Radin, BN Sabah berpegang kepada ketetapan sebelum ini untuk mempertahankan kerajaan negeri GRS demi kepentingan rakyat di Sabah.

“BN dan UMNO sepakat dengan kerajaan sedia ada hari ini. Apa yang penting bagi kita sekarang ialah membangunkan negeri Sabah untuk rakyat,” jelasnya.

Terdahulu, parti-parti politik dalam GRS hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU)untuk mengekalkan kerjasama selain menolak campur tangan luar yang cuba menganggu-gugat gabungan itu.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Bersatu Sabah Datuk Hajiji Noor, Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Ellron Alfred Angin, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Radin Malleh, Setiausaha PAS Sabah Dr Aliakbar Gulasan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup, Pengerusi MIC Sabah Peer Muhamad dan Pengerusi MCA Sabah Lu Yen Tung.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, MoU yang merupakan memorandum pertama dimeterai di bawah GRS amat penting bagi mengukuhkan ikatan politik melalui musyawarah dan perundingan berasaskan persefahaman antara parti terlibat.

“Kerjasama antara parti komponen GRS sememangnya kukuh sejak PRN Sabah ke-16 lagi, tetapi dengan memorandum ini kerjasama ini memperkukuhkan lagi persefahaman parti-parti GRS dalam memenuhi mandat yang diberi rakyat,” jelasnya.

Dalam majlis MoU tersebut, Hajiji turut mengumumkan senarai Jawatankuasa GRS,  di mana belau sendiri sebagai pengerusi, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebagai timbalan pengerusi I, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili sebagai timbalan presiden II dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebagai timbalan pengerusi III.

“Manakala Mohd Razali Razi dilantik sebagai setiausaha, Ardino Diris sebagai penolong setiausaha, Datuk Seri Salleh Keruak sebagai Bendahari dan Datuk Joniston Bangkuai sebagai ketua penerangan bagi GRS,” umum Hajiji.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.