Anggap isu pemecatan selesai,usah teruskan persengketaan

2,329

9 JAN: Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menganggap isu pemecatan beliau sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) sudah selesai dan beliau reda dengan keputusan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak perlu lagi untuk melanjutkan persengketaan sesama sendiri dan mengajak semua supaya memberikan tumpuan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Isu saya sudah selesai. Saya reda, jangan bersengketa sesama sendiri dan marilah kita sama tumpu membantu rakyat.

‘Eratkan perpaduan orang Melayu, serta muafakat semua bangsa. Negara dan rakyat dalam kesusahan. Usah terus bertelagah kelak kita akan dibenci.

“Sekiranya ada usul mahu memecat saya dari parti atau menguggurkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pun tidak mengapa. Saya tiada masalah. No problem,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Annuar yang juga merupakan Menteri Wilayah menjelaskan, beliau sebelum ini terpaksa bangkit bersuara kerana melihat ada pihak tertentu dalam UMNO cuba ‘mempromosi dan menjual’ idea untuk bergabung dengan DAP.

“Sebagai Setiausaha Agung BN saya tidak banyak membuka mulut namun apabila saya tengok ada ura-ura nak tinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk berbaik dengan DAP, maka saya terpaksa bangun bersuara.

“Ini bukan disebabkan saya mahu menentang sesama pemimpin di dalam UMNO,  tetapi apabila saya lihat ada orang yang cuba berusaha sedikit demi sedikit mahu melihat kita bergaduh dengan parti Melayu lain dan mula berani menjual idea supaya kita bekerjasama dengan DAP. Jadi saya terpaksa melawan,” tegasnya.

Sebelum ini media melaporkan Annuar digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Bersama Muafakat Nasional (MN) berkuat kuasa mulai 5 Januari lalu, berikutan kelantangannya menyuarakan pendiriannya berhubung kerjasama politik BN dan Perikatan Nasional (PN) serta antara UMNO dan PAS dalam kerangka MN.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.