43,791 mangsa banjir masih di pusat pemindahan sementara

35

9 JAN : Keadaan banjir di lima negeri memperlihatkan tanda pulih di mana setakat pagi ini, jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Perak adalah sebanyak 43,791 berbanding 47,038 mangsa petang semalam.

Jumlah mangsa banjir di Pahang kini menunjukkan sedikit penurunan iaitu 26,016 mangsa setakat 7 pagi ini, berbanding 27,090 orang petang semalam.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan Temerloh masih lagi mencatatkan mangsa banjir tertinggi iaitu 11,547 diikuti Maran (3,002); Lipis (2,421); Pekan (1,968); Raub (1,866); Jerantut (1,663); Kuantan (1,530); Bera (1,383) dan Rompin (636) yang ditempatkan di 290 PPS.

Portal berkenaan turut memaklumkan air Sungai Pahang di daerah Bera, Maran, Pekan dan Temerloh melepasi tahap bahaya.

Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad dalam laman Twitternya memaklumkan laluan di KM126 Chenor-Temerloh masih ditutup di kedua-dua arah.

Di Terengganu pula, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 11,804 orang di 53 PPS, berbanding 13,092 orang pada petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 9,424 orang diikuti Dungun (2,292) dan Hulu Terengganu (88).

“Penurunan ini kerana ada kawasan di Hulu Kemaman yang banjirnya sudah surut, jadi penduduk terjejas sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.  Bagaimanapun, situasi banjir di bandar Chukai masih belum pulih ketika ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan dua sungai di dua daerah masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman setinggi 5.83m dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau setinggi 13.04m.

Sebanyak 4,633 orang daripada 1,386 keluarga di Kelantan masih ditempatkan di 60 PPS membabitkan enam jajahan negeri itu.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana JKM, Kuala Krai masih kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,400 orang diikuti Pasir Mas (1,592); Tanah Merah (406); Gua Musang (149); Jeli (64) dan Kota Bharu (22).

Portal infobanjir.water.gov.my memaklumkan setakat 7 pagi ini, lima sungai di negeri itu merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.38 meter), Sungai Kelantan di Kusial Tanah Merah (17.36m), Sungai Kelantan di Jeti Kastam (5.04m), Sungai Golok di Rantau Panjang (10.42m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu (2.92m).

Manakala di Johor, sebanyak 1,207 mangsa daripada 305 keluarga masih berada di 13 PPS pagi ini, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 578 orang daripada 137 keluarga berada di dua PPS di Kluang; 320 mangsa daripada 85 keluarga di lima PPS di Mersing; 148 orang daripada 35 keluarga (tiga PPS di Kota Tinggi); 89 orang daripada 24 keluarga di dua PPS di Segamat dan 72 mangsa daripada 24 keluarga di sebuah PPS di Johor Bahru.

“Setakat ini, dua jalan iaitu Jalan Haji Suhud di Johor Bahru dan Jalan Tanah Abang di Mersing masih ditutup kepada semua kenderaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Di Perak seramai 131 mangsa banjir daripada 35 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS di daerah yang terjejas.

Menurut portal Info Bencana JKM, daerah Hilir Perak mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir iaitu 108 orang diikuti Hulu Perak (16) dan Perak Tengah (tujuh).

Menurut infobanjir.water.gov.my, paras Sungai Perak di Kuala Kenderong dan Tasik Temenggor di Hulu Perak serta di Kampung Gajah dalam daerah Perak Tengah kini pada tahap amaran selepas masing-masing mencatat bacaan 112.31m, 247.15m serta 6.71m, setakat 7 pagi ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.