PKP atau tidak? Tunggu dulu pengumuman PM

8 JAN: Persoalan yang bermain dalam kalangan rakyat sama ada kerajaan akan melaksanakan langkah lebih ketat termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 yang semakin meningkat akan dijawab Isnin ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan disentuh dalam pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari tersebut.

Menurut beliau, kerajaan maklum berhubung desas-desus yang berlegar tentang isu tersebut dalam media sosial.

ismail sabri yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat, kita sedang mempertimbangkan dan insya-Allah apa yang dinantikan akan diumumkan Perdana Menteri Isnin nanti.

“Jadi, kita tunggulah apa pengumuman yang hendak dibuat nanti dan kita bersedialah pengumuman itu nanti,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri mengulas tentang khabar angin yang tular dalam media sosial berhubung pelaksanaan semula PKP lebih-lebih lagi setelah jangkitan kes positif COVID-19 mencapai 3,027 kes semalam.

Beliau menambah, trend itu amat membimbangkan dan kerajaan memandang serius perkembangan terbaharu itu serta mendengar keluhan dan cadangan daripada rakyat.

“Kerajaan juga sangat memahami beban tugas yang dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan kita berikutan peningkatan kes yang mendadak,” jelasnya.

Ismail Sabri memberitahu, kerajaan sentiasa memantau situasi semasa penularan jangkitan COVID-19 dan membincangkan pendekatan serta langkah terbaik untuk mengawal penularannya.

“Sehubungan itu, kerajaan melalui Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), sedang memperhalusi dan menilai tindakan-tindakan yang perlu diambil segera untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19.

“Ini termasuklah mempertimbangkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dilaksanakan terutamanya di sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan seluruh rakyat agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.