Dua kakitangan Bursa Malaysia positif Covid-19

106

8 JAN : Bursa Malaysia Bhd menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan dua kakitangannya telah didapati positif Covid-19.

Kata kenyataan itu,  perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kakitangan tersebut kini dalam pengasingan dengan menjalani kuarantin di rumah.

“Bursa telah menjalankan pengesanan kontak dan mengenal pasti pergerakan kakitangan yang dijangkiti itu.

Sebagai langkah segera, kakitangan Bursa Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan kakitangan tersebut akan dihantar untuk menjalani ujian dan bekerja dari rumah sehingga keputusan ujian mereka negatif,” jelas kenyataan itu.

Bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan pekerjanya, kerja-kerja pembersihan dan sanitasi kini sedang dilakukan.

“Bursa Malaysia mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan pekerjanya. Kami akan terus melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang diperlukan dan telah dijalankan sejak bermulanya pandemik ini,”katanya.

Kata kenyataan itu lagi, sebagai langkah berjaga-jaga, kakitangan yang mempunyai hubungan tidak langsung juga akan bekerja dari rumah.

“Bursa Malaysia akan memberikan sokongan yang diperlukan jika mereka memilih untuk menjalani ujian secara sukarela,” katanya.

Syarikat itu memberi jaminan bahawa bursa saham beroperasi seperti biasa.

“Tiada gangguan terhadap fungsi penting dan sokongan kami di Bursa, dan pelan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan kami telah disediakan untuk memastikan kelancaran fungsi operasi kami jika berlaku insiden sedemikian,”ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.