Bekas wartawan sumbang keperluan harian bantu mangsa banjir

33

8 DIS: Bekas wartawan TV3, Khaidir Ahmad, mengambil inisiatif membantu mangsa banjir di kawasan berhampiran tempat tinggalnya di Temerloh, Pahang dengan menghulurkan pelbagai barang keperluan harian kepada mangsa banjir di Kampung Durian Tikus dan kampung Lebak.

Menurut Khaidir, beliau terpanggil untuk tampil membantu penduduk di kampungnya ekoran bantuan agak lambat tiba di kawasan terbabit biarpun sudah dilanda banjir sejak beberapa hari lalu.

“Saya mengambil inisiatif untuk membantu memandangkan ada keluarga mangsa banjir yang sudah terputus hubungan sejak empat hari lewat lalu.

“Walaupun mangsa keluarga miskin, tetapi dalam waktu darurat bencana banjir ini, wang dan status keluarga bukan isunya. Mereka terputus hubungan dan terkepung dek banjir.

“Walau ada wang sekalipun, mereka tiada akses untuk membeli barang keperluan, khususnya makanan.

“Mereka bukan tidak mahu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tetapi mereka tidak mahu mengambil risiko membawa anak kecil pindah ke sana dan bersesak dalam keadaan COVID-19 semakin meningkat,” katanya.

Justeru, Khaidir berkata, dia bersama tiga orang rakannya terpaksa meredah arus deras banjir Sungai Pahang sejauh 12 kilometer, bagi mendapatkan lebih banyak bekalan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang terputus hubungan dan makanan.

Beliau juga mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang mahu menghulurkan derma bagi membeli barangan keperluan untuk penduduk kampungnya yang terkandas akibat banjir.

“Saya muflis tidak ada akaun bank tetapi jika anda mahu amanahkan kepada saya, boleh salur ke akaun isteri saya NORAISHAH BINTI ABDULLAH Maybank 156178022053

“Sila WhatsApp resit sumbangan anda kepada saya 0139288288 untuk memudahkan pengurusan sumbangan. Insya-Allah saya akan pikul amanah anda untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di kampung saya dan sekitarnya,” ujarnya lagi.- Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.