75 individu kena kompaun main air banjir

73

8 JAN: Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, mengesahkan polis mengeluarkan kompaun terhadap 75 individu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 seperti terbabit dalam aktiviti melihat dan bermain air banjir.

Beliau berkata, kebanyakan individu yang dikompaun didapati tidak patuh SOP seperti berkumpul dalam jumlah yang ramai pada satu-satu masa, tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Berikutan itu, Shafien memberi amaran bahawa polis akan mengeluarkan kompaun akan terus dikeluarkan kepada individu yang gagal mematuhi SOP kerana peringkat amaran dan memberi pendidikan kesedaran sudah tamat.

“Saya telah arahkan pasukan polis mengambil tindakan kompaun. Tak ada lagi amaran. Maknanya, kalau kereta peronda keluar, tiada lagi amaran seperti sebelum ini.

“Kita telah lengkapkan pegawai untuk ambil tindakan. Dan untuk minggu ini sahaja, 75 sudah kita keluarkan. Jadi, keseluruhannya, lebih 2,000 telah dikompaun (kerana ingkar SOP COVID-19). Ini menunjukkan, masih ada warga kita yang belum sedar atau sengaja buat tak sedar,” katanya dalam satu kenyataan.

Berikutan itu, Shafien menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP dan elak dari dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

“Bayaran kompaun RM1,000 itu tinggi sebenarnya. Jadi, lebih baik duit itu disimpan, diguna sebaik mungkin, untuk kehidupan harian.

“Senang saja hendak jaga SOP, pakai topeng, duduk jarak jauh-jauh, cuci tangan. Tempat-tempat yang ramai orang, jangan pergi kalau tak perlu,” tambahnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.