16 kematian, 2,643 kes baharu hari ini

8 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kes harian baharu sebanyak 2,643 kes hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 131,108 kes, manakala  jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 25,140 kes. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,641 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 1,666 kes adalah warganegara Malaysia (63 peratus) dan 975 kes adalah bukan warganegara.

‘Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,086 kes (41.1 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 904 kes (83.2 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 401 kes (15.2 peratus) dan Johor sebanyak 298 kes (11.3 peratus).

“Sebanyak 79 kes (3.0 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (73 kes), Kluster Pagar Siput (3 kes), Kluster Tembok Choh (2 kes), dan Kluster Tembok Gajah (1 kes),” katanya menerusi kenyataan media harian Covid-19 hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan bilangan kes sembuh Covid-19 pula adalah sebanyak 2,708 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 105,431 kes (80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

“Sehingga kini, terdapat 170 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita juga ingin dimaklumkan terdapat pertambahan 16 kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 537 kes (0.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). 

“Untuk makluman, peningkatan kes-kes kematian pada hari ini adalah berikutan terdapat kes-kes yang memerlukan tempoh masa tertentu untuk siasatan lebih lanjut dijalankan sebelum kematian tersebut disahkan adalah disebabkan oleh Covid-19,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.