Washington huru-hara, penyokong Trump memberontak

160

7 JAN: Suasana huru-hara tercetus di bangunan Capitol, Washington DC semalam ekoran tindakan penyokong Donald Trump merusuh untuk menggagalkan sesi Kongres bagi mengesahkan kemenangan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

Memetik laporan AFP, tindakan terdesak itu dikatakan langkah terakhir bagi membatalkan kekalahan Trump dalam pemilihan Presiden AS baru-baru ini.

Penyokong-penyokong Trump mencetuskan kekacauan dan didakwa cuba ‘merampas kuasa’ dengan berhimpun sebelum merempuh dan menyerbu masuk ke dalam bangunan Capitol.Akibatnya, sesi khas Kongres itu terganggu dan terpaksa dihentikan sementara.

capitol
Penyokong Trump merusuh di luar bangunan Capitol.

Polis melepaskan gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan yang mula bertindak ganas ketika mempertahankan kemenangan Trump.

Insiden itu merupakan sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku sejak lebih dua dekad di mana majlis peralihan kuasa antara Presiden dan penggantinya berjalan dalam keadaan tenang tanpa sebarang kekacauan.

Biden mengutuk rusuhan tersebut dan menganggap perbuatan para penyokong Trump itu sebagai pemberontakan.

Beliau turut menggesa Trump membuat pengumuman melalui televisyen bagi meminta penyokongnya menamatkan keganasan.

“Saya meminta Presiden Trump membuat pengumuman di televisyen sekarang untuk mengarahkan penyokongnya menghentikan rusuhan dan beredar daripada bangunan Capitol.

“Menyerbu Capitol, merosakkan tingkap, menceroboh pejabat dan dewan Senat Amerika … mengancam keselamatan pegawai yang terpilih? Ini bukan demonstrasi, ini adalah pemberontakan,” tegasnya.

Sebelum kejadian berlaku, Trump menghasut penyokongnya untuk mengadakan demonstrasi bagi membantah keputusan pemilihan Presiden AS di kawasan berhampiran Rumah Putih sebelum bergerak menuju ke Capitol.

Walau bagaimanapun, Trump melalui ciapan Twitter kemudian meminta penyokongnya untuk berdamai.

Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser seterusnya mengumumkan perintah berkurung di bandar raya tersebut.

Twitter turut memberi amaran kepada Trump bahawa beliau akan dilarang menggunakan media sosial itu kerana menghasut perbuatan berunsur keganasan.

Sementara itu, seorang wanita maut dipercayai akibat terkena tembakan dalam rusuhan oleh penyokong Trump di bangunan Capitol.

Polis Metropolitan Washington sedang menyiasat kejadian tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.