UMNO, BERSATU mesti bertolak ansur demi rakyat

955

7 JAN: UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu bertolak ansur dan kembali ke meja rundingan secepat mungkin jika mereka masih berminat meneruskan kerjasama politik dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan gabungan Muafakat Nasional (MN).

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Noor Sulastry Yurni Ahmad berkata, UMNO dan BERSATU juga perlu merujuk kepada objektif utama penubuhan kedua-dua parti politik berkenaan, sebelum membuat keputusan sama untuk terus meneruskan kerjasama politik mereka atau sebaliknya.

sulastry
NOOR SULASTRY YURNI AHMAD

“Komen saya mudah saja. Apa objektif utama kerjasama UMNO dan BERSATU? Terpulang kepada perbincangan kedua-dua pihak.

“Jika agenda penubuhan UMNO dan BERSATU berorientasikan kebajikan rakyat, maka eloklah berbincang untuk kebaikan semua. Jika kepentingan politik semata-mata, maka bekerjalah sesama sendiri untuk kepentingan parti masing-masing.

“Tolak ansur sudah menjadi sebati dalam politik Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu hingga kepada penggabungan parti politik untuk kemerdekaan,” katanya.

Beliau mengulas tentang keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang diadakan malam tadi.

UMNO akan membincangkan soal kerjasama dengan BERSATU dalam Perhimpunan Agung parti itu hujung bulan ini manakala BERSATU tetap mempertahankan kerjasama politik dalam kerangka kerajaan PN.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, nasib dan masa depan orang Melayu/Islam dan Bumiputera kini terletak di tangan pemimpin tiga parti utama membentuk kerajaan PN iaitu UMNO, BERSATU dan PAS.

Beliau berkata, gabungan kerajaan PN hanya boleh diselamatkan jika ketiga-tiga parti meletakkan kepentingan, kedaulatan dan kebajikan orang Melayu/Islam dan kaum Bumiputera sebagai misi dan visi yang perlu diutamakan bukannya kepentingan individu tertentu.

ZAINAL KLING
ZAINAL KLING

“UMNO, BERSATU dan PAS boleh selamat jika visi dan matlamat utama pejuangan mereka adalah untuk mempertahankan perpaduan dan kedaulatan orang Melayu.

“Mereka perlu ingat kesan 22 bulan PH memerintah habis semua ekonomi dan pendidikan orang Melayu tergadai dan telah runtuh. Apa lagi jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP kembali berkuasa semula. Habis tergadai. Bahaya sebab itu UMNO perlu terus kekalkan perpaduan dan kerjasama dengan BERSATU dan PAS,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.