Rebat RM200 pembelian peti sejuk, penyaman udara

200

7 JAN : Program Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) 2.0 memberikan e-rebat sebanyak RM200 kepada isi rumah yang membeli peti sejuk atau penyaman udara cekap tenaga pada tahun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata,  peruntukan RM30 juta yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 itu dijangka akan memanfaatkan 150,000 isi rumah.

“Pemberian e-rebat itu melibatkan pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga berlabel 4 atau 5 bintang, sama ada buatan tempatan atau yang dikilangkan dan mendapat persijilan SIRIM atau setara dengannya di Malaysia.

“Rebat ini juga terhad kepada satu akaun sahaja untuk setiap pembelian penyaman udara atau peti sejuk dalam tahun 2021 atau sehingga kuota habis, yang mana terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program SAVE 2.0, di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi, bagi pembelian secara dalam talian, permohonan e-rebat melalui Shopee Malaysia telah dibuka mulai 1 Jan 2021 manakala e-rebat melalui pembelian secara fizikal boleh dinikmati bermula hari ini.

“Pengguna atau pemilik akaun elektrik berdaftar dengan syarikat utiliti elektrik seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Sarawak Energy Bhd (SEB) dan NUR Power, layak memohon.

“Pemohon boleh mendapatkan e-rebat melalui dua kaedah iaitu dengan membawa bil elektrik terkini untuk membuat pembelian secara fizikal di kedai elektrik, atau pasar raya berdaftar di bawah Program SAVE 2.0, atau memohon e-rebat dengan membuat pembelian secara dalam talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf.

“Saya sarankan pembeli supaya merujuk panduan senarai kelengkapan elektrik dan harga rujukan (RPP) melalui laman sesawang rasmi di www.saveenergy.gov.my sebelum membuat pembelian, serta membuat perbandingan harga bagi mendapatkan harga terbaik dan kos efektif,” ujarnya

Get real time updates directly on you device, subscribe now.